BUCHAREST: Presiden Romania, Klaus Iohannis menolak pencalonan wakil Parti Demokrat Sosial, Sevil Shhaideh untuk bertanding sebagai Perdana Menteri, sekali gus menjadi pemimpin Islam pertama dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah. Iohannis tidak menyatakan sebab beliau menolak pencalonan Sevil, seorang ahli politik berketurunan Turki dan seorang daripada 65,000 penduduk beragama Islam di Romania. "Saya telah meneliti perbahasan berhubung pencalonan Sevil dan mengambil keputusan untuk tidak menerima usul berkenaan. "Saya meminta Parti Demokrat Sosial untuk mengemukakan pencalonan lain," katanya Iohannis menerusi satu kenyataan. Parti terbabit yang masih belum mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan Iohannis, menamakan Shhaideh sebagai calon susulan kejayaan pemimpin berusia 52 tahun itu mencatat kemenangan besar pada pilihan raya 11 Disember lalu dengan meraih 45 peratus undian. Parti Demokrat Sosial yang bergabung dengan parti ALDE, menguasai 250 daripada 465 kerusi di Dewan Parlimen dan Dewan Rakyat, jumlah yang mencapai majoriti untuk memilih calon Perdana Menteri. Pemimpin Parti Demokrat Sosial, Livieu Dragnea yang sepatutnya dicalonkan untuk jawatan tersebut, mengambil keputusan mengundur diri kerana menjalani hukuman penggantungan selama dua tahun ekoran kes penipuan pilihan raya. Sevil yang tidak memiliki pengalaman politik, berkhidmat sebagai Menteri Pembangunan selamam enam bulan sebelum kerajaan yang diketuai Parti Demokrat Sosial dibubarkan pada hujung tahun lalu.