ANKARA: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mendakwa memiliki bukti yang menunjukkan tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat (AS) menyokong kumpulan pengganas Daesh dan militan lain di Syria. Selain itu, Erdogan turut menyelar kegagalan AS untuk mengotakan janji bagi menyalurkan bantuan udara kepada operasi Turki membebaskan bandar al-Bab di Syria daripada cengkaman militan Daesh. "Pada awalnya, matlamat tentera bersekutu mahu memerangi organisasi Daesh secara habis-habisan dan menuduh Turki menyokong kumpulan militan itu. "Sebaliknya, mereka (tentera bersekutu) memberi sokongan kepada kumpulan pengganas termasuk Daesh, YPG (Unit Perlindungan Rakyat Kurdis) dan PYD (Parti Kesatuan Demokratik). "Perkara ini sangat jelas kerana kami memiliki bukti yang sahih termasuk gambar dan video," kata Erdogan pada Selasa. AS dan sekutunya di rantau Arab termasuk Arab Saudi, Qatar dan Turki sendiri, sering dituduh menyalurkan bantuan senjata kepada kumpulan militan yang memerangi kerajaan Syria sejak hampir enam tahun lalu. Ankara melabelkan PYD sebagai kumpulan sayap Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang melancarkan pemberontakan ke atas Turki sejak 1984 dan disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas oleh AS. Turki sebelum ini berikrar mahu memburu militan Kurdis sama ada di Iraq dan Syria bagi menghentikan pemberontakan di negaranya. Dakwaan Erdogan dikeluarkan hanya beberapa hari selepas bekas calon Presiden AS, Jill Stein menuduh Washintong menyokong kumpulan pengganas yang memberi kepentingan kepada negara barat itu.