suria

Pelajar AS Pilih Universiti Kanada Susulan Kemenangan Trump

GAMBAR HIASAN

NEW YORK: Lebih ramai pelajar Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berminat untuk menyambung pengajian di Kanada susulan kemenangan mengejut wakil Parti Republikan, Donald Trump pada Pilihan Raya Presiden, November lalu.

Menurut laporan The Associated Press, permohonan untuk memasuki universiti di Kanada meningkat mendadak sejak pilihan raya tersebut berakhir dengan statistik menunjukkan ramai pemohon berasal dari AS.

Beberapa wakil pusat pengajian di Kanada berkata, antara faktor peningkatan jumlah permohonan tersebut mungkin disebabkan pertambahan jumlah pelajar tetapi kemenangan Trump juga dikaitkan dengan perkembangan tersebut.

Universiti Toronto sebagai contoh, mengalami peningkatan permohonan sebanyak 70 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu dan aliran trafik laman web pusat pengajian itu juga meningkat dua kali ganda.

Beberapa institusi lain di negara itu juga mengalami peningkatan permohonan sekurang-kurangnya 20 peratus.

Pelajar berusia 17 tahun dari California, Lara Godoff mengakui dia menolak tawaran untuk menyambung pengajian di AS sehari selepas pilihan raya.

"Jika kami tinggal di negara yang memiliki ramai pengundi Trump, maka ia bukanlah tempat untuk kami mahu meneruskan kehidupan," katanya.

Antara kebimbangan yang dibangkitkan Lara termasuk dasar Trump yang mahu meringankan undang-undan persekutuan terhadap kes serangan seksual, sekali gus menjadikan kampus sebagai tempat yang kurang selamat untuk golongan wanita.

Namun bagi Pengurus Kanan Bahagian Pengambilan Pelajar Universiti Montreal, Jennifer Peterman berkata, pihaknya tidak boleh mengabaikan kesan pilihan raya di AS tetapi mungkin ada faktor lain yang menyebabkan pelajar dari negara itu mahu menyambung pengajian di Kanada.

"Pelajar AS tahu bahawa kos pengajian di Kanada lebih murah dan kos sara hidup di sini juga lebih rendah berbanding di AS," katanya.

Donald Trump

Artikel Sebelum

Artikel Lain