suria

Resolusi Kecam Pembinaan Penempatan Haram Yahudi Dalam Bahaya

NEW YORK: Resolusi mengecam aktiviti Israel membina penempatan haram Yahudi berdepan ancaman untuk dibatalkan apabila senator Amerika syarikat (AS) dari Parti Republikan melancarkan gerakan membantu sekutu rapatnya itu.

Senator parti itu sedia mengemukakan usul secara rasmi kepada Kongres untuk menggunakan kuasa veto bagi membatalkan resolusi yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini.

Tindakan tersebut menunjukkan pengaruh kuat rejim Zionis ke atas Kongres AS selain sokongan kuat Washington kepada Israel.

Senator Republikan dari Kansas, Jerry Morgan berkata, beliau akan mengemukakan usul kepada Dewan senat pada Selasa depan bagi menyatakan sokongan terhadap Israel dan tidak menyokong resolusi PBB.

"Sejak lapan tahun lalu, pentadbiran Presiden Barack Obama membuat beberapa keputusan yang tidak tepat apabila melibatkan sekutu kuat AS di Asia Barat.

"Saya juga bersedia untuk bekerjasama dengan wakil Republikan dan Demokrat bagi menyatakan sokongan terhadap Israel.

"Selain itu, PBB tidak boleh dijadikan sebagai forum untuk mewujudkan polisi yang boleh memberi kesan kepada AS dan sekutunya," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, wakil Republikan dari Florida, Dennis Ross berkata, beliau sedia mengemukakan usul untuk mengecam Obama dan PBB kerana melancarkan kempen anti-Israel.

Kemelut tersebut tercetus apabila pentadbiran Obama membenarkan resolusi PBB diluluskan pada minggu lalu dan enggan menggunakan kuasa veto bagi menghalang sekutunya, Israel dikecam kerana membina penempatan haram di tanah Palestin.

Keputusan tersebut mengundang kecaman daripada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bakal Presiden AS, Donald Trump yang mempersoalkan semangat setiakawan antara kedua-dua pihak.

Resolusi itu merupakan usaha beberapa negara termasuk Malaysia bagi menentang pencerobohan rejim Zionis di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza yang berlanjutan sejak 1947.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain