suria

Raja Tuna Bida Ikan Bernilai RM2.69 Juta

Kiyoshi Kimura (tengah) bergambar bersama ikan tuna sirip biru yang bernilai RM2.69 juta yang dimenanginya dalam acara bidaan di pasar ikan Tsukiji pada 5 Januari 2016. - AFP

TOKYO: Raja Tuna Jepun dari Jepun sekali lagi melakar kejutan apabila mengeluarkan belanja sebanyak AS$600,000 (RM2.69 juta) semata-mata membeli seekor ikan.

Usahawan produk sushi, Kiyoshi Kimura membuat bidaan paling tinggi dalam acara lelongan pertama bagi tahun baharu di pasar ikan Tsukiji di Tokyo, untuk membawa pulang ikan tuna sirip biru dengan nilai 74.2 juta yen (RMRM2.69 juta).

Pemilik rangkaian kedai sushi Sushizanmai kini boleh berbangga kerana berjaya memiliki ikan seberat 212 kilogram tersebut.

Pada harga tersebut, Kimura boleh mengenakan bayaran sebanyak AS$85 (RM381) bagi sepotong sushi tuna di 51 buah cawangan kedainya di seluruh Jepun.

"Saya rasa harga itu agak mahal tetapi saya gembira kerana berjaya membida ikan tuna yang memiliki saiz dan bentuk yang baik," katanya.

Kimura membina rangkaian perniagaannya sehingga menjadi jenama kebangsaan dengan mengeluarkan belanja besar setiap kali acara lelongan diadakan di Tsukiji dan kemenangan tersebut merupakan yang keenam berturut-turut.

Tahun lalu, Kimura tidak mempunyai masalah untuk mengenepikan pencabarnya dan membayar AS$117,000 (RM525,452) bagi mendapatkan seekor tuna seberat 200 kilogram.

Harga tersebut mungkin melampau tetapi Kimura sentiasa memastikan bahawa nilai ikan itu berbaloi untuk memberi pulangan kepadanya.

Setiap tahun, acara lelongan tersebut yang diadakan dalam tempoh singkat akan menjadi perhatian media di Jepun.

Pada Khamis, Kimura memberitahu media Jepun bahawa ikan tuna terbabit akan dipotong dan diagihkan ke rangkaian restorannya.

Acara lelongan pada tahun ini mungkin yang terakhir diadakan di Tsukiji, pasar ikan paling besar di dunia.

Sepatutnya acara itu beralih ke lokasi baharu pada September lalu tetapi perancangan tersebut terpaksa ditangguhkan ekoran kebimbangan pencemaran toksik di tapak baharu berkenaan. - AFP

Artikel Lain