suria

Pegawai Di China Tembak Majikan, Datuk Bandar

Pihak berkuasa mengawal ketat lokasi kejadian.

BEIJING: Seorang pegawai kanan di Sichuan pada Rabu bertindak menembak dua penyelianya ketika mesyuarat peringkat tinggi sedang berlangsung, sebelum membunuh dirinya, lapor media China.

Ketua Biro Tanah dan Sumber Panzhihua, Chen Zhongshu telah melepaskan tembakan terhadap Ketua Parti Komunis bandar, Zhang Yan dan juga Datuk Bandar, Li Jianqin sebelum melarikan diri, menurut laman berita yang berpangkalan di Shanghai,  Thepaper.cn .

Zhang dan Li mengalami kecederaan kecil dan Chen kemudiannya ditemui mati di bangunan hotel di mana mesyuarat diadakan, menurut laporan itu.

Chen meluru masuk dan melepaskan tembakan ke arah dua lelaki itu ketika mesyuarat sedang dijalankan.

Zhang dan Li telah dihantar ke hospital, di mana kecederaan mereka digambarkan sebagai tidak mengancam nyawa.

Tiada motif diberikan bagi serangan tersebut dan masih tidak jelas bagaimana Chen mendapat senjata api.

Orang awam di China dilarang daripada memiliki senjata api di bawah undang-undang negara.

Kejadian tembakan ini berlaku hanya enam bulan selepas Li, 53, tiba di bandar ini dan menjadi Datuk Bandar.

Li telah ditugaskan semula ke Panzhihua selepas lebih 20 tahun bekerja di sektor sumber, termasuk lapan tahun bertanggungjawab bagi pejabat pemantau dalaman Kementerian Tanah dan Sumber.

Satu sumber memberitahu akhbar South China Morning Post  bahawa Li adalah seorang pakar dalam bidang profesional yang diceburi Chen dan suspek itu telah menjadi sasaran siasatan sebelum berlakunya kejadian tembak.

The Southern Metropolis News memetik sumber kerajaan yang tidak dinamakan sebagai berkata Chen telah mengadu kepada kawan-kawannya tentang Zhang dan Li.

Artikel Berikut

Artikel Lain