suria

Insiden Tembakan Di Lapangan Terbang Florida: Lima Maut, Lapan Cedera

FORT LAUDERDALE (Florida): Seorang lelaki bersenjata dipercayai veteran perang Iraq melepaskan tembakan di tempat menuntut bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Fort Lauderdale, Florida pada Jumaat.

Lima terbunuh dalam kejadian itu dan lapan lagi yang cedera diberikan rawatan rapi, menurut pegawai-pegawai dan saksi.

Tembakan yang dilepaskan menyebabkan pelancong-pelancong yang panik lari bertempiaran lari di dalam terminal.

Pihak berkuasa penerbangan menutup trafik udara, menyebabkan beratus-ratus pelancong terkandas.

Penembak dikenal pasti sebagai Esteban Santiago, 26, dan membawa pengenalan tentera Amerika Syarikat (AS), menurut jurucakap Senator AS dari Florida Bill Nelson, yang bercakap dengan pegawai-pegawai di Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA).

Santiago telah berkhidmat dalam Pengawal Kebangsaan Puerto pada 2007-2016 Rico dan Pengawal Kebangsaan Alaska termasuk ditempatkan di Iraq dari 2010 hingga 2011, menurut Pentagon.

Menerima banyak penganugerahan dan pingat, dia kemudian dipindahkan ke pasukan simpanan pada Ogos tahun lepas.

Lelaki bersenjata itu tiba dengan penerbangan ke Fort Lauderdale bersama pistol di dalam begnya dan sebelum menuntut bagasi, dia telah pergi ke tandas, kata Pesuruhjaya Broward County Chip LaMarca di Twitter.

Suspek kemudian keluar dan melepaskan tembakan, kata Lamarca dan saksi memberitahu televisyen MSNBC bahawa suspek hanya berhenti apabila kehabisan peluru, dan menyerah diri kepada polis.

Video yang diambil dengan telefon bimbit yang tersebar di media sosial menunjukkan mangsa berada bersebelahan dengan karusel.

Sekurang-kurangnya dua mangsa berlumuran darah dari luka yang dilihat di bahagian kepala.

Terbang dengan senjata api adalah dibenarkan dalam undang-undang di Amerika Syarikat dengan syarat senjata yang dibawa 'dikunci'.

Peluru adalah dilarang di dalam beg yang dibawa masuk ke tempat duduk, tetapi dibenarkan dalam bagasi yang telah diperiksa dan didaftar.

Penembak tidak mengalami sebarang kecederaan kerana pegawai penguatkuasa tidak melepaskan tembakan.

Dilaporkan, pada ketika ini, suspek kelihatan seperti bertindak sendirian.

Suspek yang memakai baju-T 'Star Wars'  tidak berkata apa-apa ketika melepaskan tembakan, saksi memberitahu MSNBC.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain