suria

Selatan Thailand Terjejas Akibat Banjir Kilat

Penduduk sekitar daerah Muang di wilayah Nakhon Si Thammarat di selatan Thailand berdepan masalah banjir kilat susulan hujan berterusan sejak seminggu lalu.

BANGKOK: Hujan berterusan mengakibatkan sekuang-kurangnya lapan maut, jadual penerbangan tergendala dan aktiviti pelancongan terjejas khususnya di selatan Thailand.

Susulan itu juga, pihak berkuasa Thailand mengeluarkan amaran banjir kilat di seluruh selatan negara itu.

Hujan selama hampir seminggu di sembilan wilayah selatan Thailand mengakibatkan beberapa pulau peranginan seperti Ko Samui dan Phanga digenangi air.

Beribu-ribu pelancong terkandas atau mengalami kelewatan akibat bencana itu.

Kementerian Dalam Negeri Thailand berkata, lapan orang terkorban dan sekurang-kurangnya 120,000 isi rumah di selatan Thailand terjejas dalam banjir kali ini.

Jabatan Meteorologi pula memberi amaran kepada penduduk dan pelancong di selatan Thai semalam bahawa hujan lebat dan banjir kilat diramal berterusan selama dua hari lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang pemilik rumah penginapan di Ko Samui, Tuula Fitzpatrick berkata, banjir kali ini adalah yang terburuk pernah melanda pulau itu dalam tempoh lebih 10 tahun.

“Kebanyakan pelancong di rumah penginapan kami terkandas selepas penerbangan mereka dibatalkan.

“Saya menetap di sini selama 12 tahun dan tidak pernah melihat banjir seteruk ini,” katanya.

Selain penerbangan, perkhidmatan kereta api di selatan Thai turut tergendala selepas beberapa landasan ditenggelami air banjir.

Lapangan terbang utama di wilayah Nakhon Si Thammarat pula terpaksa ditutup selepas landasannya digenangi banjir, mengakibatkan sekurang-kurangnya 26 penerbangan terjejas.

Hujan lebat berterusan yang berlaku pada tahun ini dikatakan luar biasa kerana turun ketika Thailand mengalami musim kering bermula November lalu. – AFP



Kok Samui, banjir

Artikel Lain