DHAKA: Selepas menjalani kira-kira 16 pembedahan untuk membuang ketumbuhan seberat lima kilogram pada kaki dan tangannya, kini warga Bangladesh ini bakal meneruskan kehidupan sebagai lelaki normal. Bapa kepada seorang anak perempuan ini pernah digelar 'lelaki pokok' apabila penyakitnya mendapat perhatian doktor setahun lalu. Bekas pemandu beca berenjin berusia 27 tahun itu merupakan seorang daripada empat individu di dunia yang disahkan menghidap penyakit epidermodysplasia verruciformis, sejenis penyakit genetik. Abul Bajandar yang badannya dipenuhi ketuat umpama kulit kayu itu akan dibenarkan keluar dari hospital tidak lama lagi. “Rawatan untuk menyembuhkan masalah ketumbuhan Abul adalah satu pencapaian luar biasa dalam sejarah perubatan. “Kami melakukan pembedahan ke atasnya sekurang-kurangnya 16 kali untuk membuang ketuat itu,” kata penyelaras pembedahan plastik Hospital Kolej Perubatan Dhaka, Samanta Lal Sen. “Tangan dan kakinya kini berada dalam keadaan baik. Dia akan dibenarkan pulang dalam tempoh 30 hari selepas menjalani beberapa pembedahan kecil lain untuk menyempurnakan bentuk tangannya,” tambah Samantha. Beliau yakin Abul merupakan individu pertama menghidap penyakit itu yang berjaya dirawat apabila pasukan perubatan memberi jaminan bahawa ketuat tersebut tidak akan tumbuh semula. “Saya tidak menyangka akan mampu memegang dan bermain bersama anak saya. “Saya berasa lebih sihat dan tidak sabar untuk pulang ke rumah,” kata Abul. Dia yang berasal dari sebuah perkampungan miskin di Daerah Khulna, selatan Bangladesh menjadi selebriti selepas keadaan kesihatannya mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa. – AFP