MANILA: Polis membunuh seorang pemberontak warga asing dalam pertempuran dengan kumpulan pro Negara Islam (IS) di selatan Filipina, kata seorang pegawai Ahad. Pertempuran meletus apabila polis memburu anggota kumpulan Ansarul Khilafah Filipina (AKP) di pulau bergolak di selatan Mindanao, Sabtu, kata jurucakap polis tempatan Supt Romeo Galgo. "Seorang warga asing yang hanya dikenali sebagai Abu Naila dan seorang ahli wanita yang hanya dikenali Kadija...menentang penangkapan dengan cuba membaling bom tangan terhadap anggota yang melakukan tangkapan," katanya dalam satu kenyataan. Pihak polis bertindak balas dengan melepaskan tembakan, menyebabkan kedua-dua terbunuh, katanya. Pihak berkuasa bagaimanapun tidak mendedahkan kerakyatan Abu Naila walaupun mereka sebelum ini berkata AKP telah bekerjasama dengan militan asing. Pelampau dari negara-negara lain di Asia Tenggara telah datang ke Filipina untuk melatih pejuang tempatan terutamanya dalam penggunaan bahan letupan. AKP adalah salah sebuah daripada beberapa kumpulan militan Islam di Mindanao, kawasan yang didiami minoriti Islam Filipina di mana pemberontak pemisah telah meragut lebih 120,000 nyawa selama puluhan tahun. Kerajaan telah memburu ahli-ahli kumpulan itu selepas pengasas dan pemimpinnya, Mohammad Jaafar Maguid, telah dikesan dan ditembak mati minggu lalu di sebuah resort di Mindanao manakala tiga lagi 'sekutu' telah ditangkap. Pihak berkuasa sedang mengkaji peranan Ansarul Khilafah dalam pengeboman di Davao, bandar terbesar di Mindanao pada September tahun lepas yang mengorbankan 15 orang dan berpuluh-puluh yang lain cedera.