suria

Raja Salman Biayai Kos Pembedahan Kembar Siam Mesir

RIYADH: Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman akan membiayai pembedahan untuk memisahkan pasangan kembar siam perempuan dari Mesir dalam tempoh terdekat.

Pasangan kembar itu yang bernama Menna dan May bercantum di bahagian kepala dan berkongsi tisu serta saraf di bahagian otak.

Selain menanggung kos pembiayaan, Raja Salman turut mengarahkan pasangan kembar berkenaan dipindahkan ke pusat perubatan di Riyadh untuk proses pemeriksaan sama ada pembedahan boleh dilaksanakan dengan risiko yang rendah.

Bapa kembar terbabit, Islam Saqr Ramadan Hassan berkata, pertolongan Raja Salman itu memberi kegembiraan terhadap dirinya serta isterinya.

"Saya tidak mampu mengumpulkan duit untuk menampung kos pembedahan yang mahal," katanya.

Pasangan kembar berkenaan akan ditempatkan di Pusta Perubatan Raja Abdul-Aziz.

Sementara itu, penyelia Pusat Kemanusiaan dan Bantuan Raja Salman, Dr Abdullah bin Abdul-Aziz Rabiah berkata, bantuan yang dihulurkan oleh Raja Salman menunjukkan sifat kemanusiaan yang tinggi beliau untuk membantu golongan kurang bernasib baik sama ada di negaranya sendiri atau negara lain.

"Sifat pemurah beliau merupakan hasil nilai daripada ajaran Islam," katanya.

Raja Salman, Kembar Siam

Artikel Lain