CHICAGO: Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyampaikan ucapan perpisahan penuh emosi di hadapan kira-kira 20,000 penyokongnya di kampung halaman, di sini pada Selasa. Dalam ucapannya itu, Obama masih sempat memikirkan masa depan rakyatnya apabila menasihati penduduk AS agar bersedia berdepan cabaran getir yang akan menguji amalan demokrasi yang telah sekian lama dipraktikkan di negara itu. Selain itu, Obama turut meminta penyokongnya untuk bangkit bersama-sama membentuk impak sosial yang baharu. "Demokrasi memerlukan asas penting iaitu solidariti. "Di sebalik perbezaan luaran, kita sebenarnya bersatu. "Kita bangkit atau jatuh bersama-sama," katanya. Di awal ucapannya itu, lebih 20,000 hadirin melaungkan slogan "empat tahun lagi" sebagai tanda sokongan kepada Obama untuk menyambung pemerintahan walaupun undang-undang AS hanya membenarkan Presiden berkuasa selama dua penggal atau lapan tahun sahaja. Malah Obama yang memegang tampuk pentadbiran AS sejak 2008, mengakui beliau tidak boleh berbuat demikian iaitu menyambung tugas sebagai Presiden. Selain itu, Obama berkata, kemajuan yang dicapai oleh AS disifatkan sebagai tidak seimbang, kenyataan yang merujuk kepada pemilihan wakil Republikan, Donald Trump sebagai pengganti beliau. "Setiap kali bergerak dua langkah ke hadapan, kita berundur semula setapak ke belakang," katanya. Namun Obama berkata, dunia akan menyaksikan peralihan kuasa secara aman pada 20 Januari ini apabila Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden. Obama turut mengambil peluang untuk mengucapkan rasa terima kasih kepada isterinya, Michelle dan kedua-dua anak perempuannya, Malia dan Sasha kerana sanggup berkorban demi memenuhi impian politiknya.