NEW DELHI: Seorang lelaki di India sanggup menghabiskan masa terluang sepanjang tempoh lima tahun lalu untuk mengutip paku besi yang ditaburkan dengan sengaja oleh pihak tidak bertanggungjawab di sebatang jalan utama di Bangalore. Dalam tempoh tersebut, lelaki berkenaan Benedict Jebakumar yang merupakan seorang jurutera telah mengumpulkan lebih 50 kilogram paku besi yang ditaburkan di Jalan Lingkaran Luar Bangalore. Segalanya bermula apabila Jebakumar sering mengalami kebocoran tayar kereta apabila menyusuri jalan tersebut dari rumahnya di Banashankari menuju ke pejabat. Pada awalnya, dia berfikir kejadian tersebut hanya kebetulan tetapi selepas menyedari barisan kedai tayar yang terletak tidak jauh dari lokasi jalan itu, dia mula sedar bahawa paku yang menjadi punca tayarnya bocor diletakkan dengan sengaja. Dia melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa namun tiada sebarang tindakan diambil. Sejak 2012, Jebakumar meluangkan masa seawal 7 pagi ketika menuju ke pejabat di jalan terbabit untuk mencari paku besi yang ditaburkan sebelum melakukan perkara yang sama ketika pulang ke rumah. Pada mulanya, dia mengutip paku berkenaan menggunakan tangan tetapi menyedari kaedah itu amat menyusahkan. Kemudian, dia mencipta alat khas yang dilengkapi magnet untuk mengutip paku-paku berkenaan bagi mengelakkan pengguna lain menjadi mangsa perbuatan pihak yang mahu meraih keuntungan dengan mudah. "Sejak berkhidmat secara sukarela mengutip paku di jalan, saya tidak lagi mengalami masalah kebocoran tayar. "Keluarga saya tidak kisah dengan tindakan ini, malah mereka merasakan kerja sukarela ini melucukan," katanya. Jebakumar turut membuka laman Facebook khas, "My Road, My Responsibility" untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai tentang masalah penaburan paku di Bangalore.