ISLAMABAD: Seorang lelaki di Pakistan mendapat jolokan The Hulk versi Pakistan dalam kalangan penduduk tempatan disebabkan saiz fizikalnya yang besar dengan memiliki berat 435 kilogram. Malah lelaki berkenaan, Arbab Khizer Hayat mengakui dirinya sebagai manusia terkuat di dunia dan mahu menjadi juara dalam sukan angkat berat selain mempamerkan kekuatan dirinya dengan menarik sebuah traktor yang sedang berundur. "Objektif saya adalah untuk menjadi juara. Saya sangat bersyukur kepada Tuhan kerana memberikan fizikal yang besar ini. Kini, saya hanya menunggu masa sahaja sebelum menyertai dunia mengangkat berat." kata Hayat seperti dilaporkan portal Mail Online. Menurut Hayat, dia mengamalkan diet yang luar biasa pada setiap hari dengan mengambil 10,000 kalori melibatkan pemakanan sebanyak 36 biji telur untuk sarapan, tiga kilogram daging, lima liter susu dan banyak lagi. Dengan tinggi 2.76 meter, Hayat berkata dia tidak mengalami sebarang masalah kesihatan walaupun miliki berat badan sedemikian. "Saya tidak mengalami masalah kesihatan atau pun tidak selesa dengan berat saya. Tetapi saya perlu mengekalkannya jika mahu menjadi juara lelaki terkuat," katanya. Hayat, yang tinggal di bandar Mardan di Pakistan, mula mengalami kenaikan berat badan sejak mencecah usia remaja. "Berat badan saya mula naik mendadak ketika usia remaja. "Ketika itu saya mengimpikan untuk menyertai arena angkat berat dan kejuaraan orang kuat. Jadi saya teruskan menambah berat." katanya. Hayat juga mendakwa dia telah berjaya mengangkat berat lebih dari 4,000 kilogram ketika satu kejuaraan di Jepun. Tambah hayat lagi, dia juga mahu menyertai arena gusti WWE. Di negaranya, Hayat sudah mula menjadi bintang apabila dia dikenali sebagai manusia terkuat di Pakistan.