SINGAPURA: Lembaga Pengangkutan Darat (LTA) pada Isnin berkata semua kenderaan asing yang berdaftar perlu membayar caj jalan raya sebanyak S$6.40 (RM20) setiap kali masuk ke Singapura melalui Tuas atau pusat pemeriksaan Woodlands bermula 15 Februari depan. Kadar baharu itu dikenakan susulan caj jalan raya yang dilaksanakan oleh Malaysia sebanyak RM20 bagi setiap kenderaan persendirian dengan nombor pendaftaran asing dari Singapura yang dilaksanakan pada 1 November tahun lalu. Caj jalan raya itu akan dikutip bersama-sama dengan Sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP), caj tol dan Sistem Kadar Bayaran Elektronik (ERP) sebaik tiba di Tuas atau pusat pemeriksaan Woodlands. Papan tanda turut diletakkan sebagai peringatan kepada pengguna jalan raya untuk membayar caj tersebut dengan memasukkan Kad Autopass atau Kad Tunai ke dalam sistem pembaca kad di pondok Imigresen. LTA telah mengenakan hukuman lebih berat kepada pengguna jalan raya yang mengelak pembayaran tol dan caj berkaitan sejak 1 Ogos 2016. Pesalah kali pertama bertanggungjawab untuk membayar denda sebanyak S$50 (RM156) manakala kesalahan berulang dikenakan denda sebanyak S$100 (RM312). Pengguna jalan raya yang tidak membayar jumlah denda itu boleh didakwa di mahkamah dan boleh dikenakan denda tidak melebihi S$1,000 (RM3,122) atau dipenjarakan tidak lebih tiga bulan bagi kesalahan pertama.