suria

26 Banduan Maut Dalam Pergaduhan Di Penjara Brazil

Mayat banduan bergelimpangan susulan pergaduan melibatkan dua kumpulan di penjara Alcacuz, Brazil pada Isnin.

NATAL: Sekurang-kurangnya 26 banduan maut dengan kebanyakannya dipancung dalam insiden pembunuhan beramai-ramai yang terbaharu di penjara Brazil akibat pergaduhan antara kumpulan penjenayah.

Pertumpahan darah berlaku Sabtu lalu di penjara Alcacuz yang penuh sesak di Negeri Rio Grande do Norte, timur laut Brazil.

“Seramai 26 banduan disahkan mati.

"Pasukan keselamatan menyerbu penjara itu pada waktu subuh dan mengembalikan ketenteraman selepas keganasan berlarutan selama 14 jam,” kata Pengurus Keselamatan Awam Rio Grande do Norte, Caio Bezerra pada satu sidang akhbar.

Beberapa pegawai penjara berkata, rusuhan itu melibatkan anggota dua kartel dadah yang bertempur di penjara itu.

Sementara itu, seorang anggota keluarga banduan berkata, pihak berkuasa gagal bertindak sewajarnya walaupun selepas dia memberi amaran kepada pengarah penjara itu.

“Malah, pengarah penjara ini berkata, beliau tidak dapat melakukan apa-apa apabila diberitahu bahawa keganasan akan berlaku,” kata Adriana Feliz yang merupakan saudara perempuan kepada seorang banduan berkenaan.

Media tempatan melaporkan, pergaduhan itu melibatkan kumpulan pengedar dadah terbesar di Brazil iaitu First Capital Command (PCC) dan sebuah kumpulan yang bersekutu dengan musuhnya, Red Command.

Penjara tersebut hanya boleh memuatkan seramai 620 banduan tetapi ia kini menempatkan seramai 1,083 penghuni.– AFP







Alcacuz, Brazil, Caio Bezerra

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain