ISTANBUL: Lebih dua minggu diburu, akhirnya polis Turki menahan penyerang yang menembak mati 39 orang pada malam Tahun Baharu 2017 di sebuah kelab malam di sini. Penahahan suspek itu dibuat selepas polis menjalankan operasi besar-besaran pada lewat malam Isnin di sebuah pangsapuri di daerah Esenyurt di sini. Suspek ditemui bersama anak lelakinya yang berusia empat tahun. Stesen TRT melaporkan, pembunuhan didakwa dilakukan Daesh. Militan Daesh mengaku bertanggungjawab atas pertumpahan darah itu, kali pertama kumpulan itu melakukan serangan besar-besaran di Turki secara terbuka. Militan itu sebelum ini dipersalahkan atas beberapa serangan termasuk pengeboman di lapangan terbang di sini. Suspek ditangkap dalam operasi bersama polis dan agensi perisikan MIT, kata Turkish TV. Agensi Dogan menerbitkan gambar seorang lelaki ditahan dengan wajah dan bajunya dipenuhi darah. Ada kekeliruan berhubung identiti penyerang dengan laporan awal yang mendakwa dia adalah warga Kyrgyzstan dan kemudian Uighur China. Namun laporan 8 Januari lalu menyebut, perkhidmatan perisikan dan polis antipengganas di sini mengesahkannya sebagai warga Uzbekistan berusia 34 tahun yang menjadi anggota sel Daesh Asia Tengah. - AFP