SELAMA 10 tahun, seorang wanita Indonesia menderita penyakit unik yang membuatkan tubuhnya kaku. Sulami dari Sragen, Jawa Tengah, menghidap penyakit yang dikenali sebagai 'tulang belakang buluh' atau nama saintifiknya, Ankylosing Spondylitis. Menurut Jabatan Kesihatan Sragen, penyakit itu menyebabkan tubuh Sulami mengeras dan dia tidak boleh membongkokkan badan atau melipatkan kaki seperti normal. Malah selama 10 tahun, wanita itu dijaga oleh neneknya, Suginem yang berusia 90 tahun untuk bergerak. Sulami terpaksa bergantung kepada sebatang kayu untuk berjalan dengan gaya kaku. Penyakit unik itu pada awalnya menyebabkan kesakitan pada bahagian belakang dan tubuh pesakit berasa sangat lemah. Simptom itu mungkin akan hilang secara semula jadi atau menjadi lebih teruk. Bagaimanapun penyakit tersebut boleh sembuh menerusi rawatan fisioterapi, senaman dan ubatan.