suria

Trump Enggan Teruskan TPPA - Rumah Putih

WASHINGTON: Pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS) yang diterajui Donald Trump memutuskan untuk menarik diri daripada perjanjian perdagangan Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) melibatkan 12 negara bagi melindungi pekerjaan rakyat negara itu.

Kenyataan yang dikeluarkan Rumah Putih sebaik Trump  mengambil alih jawatan presiden pada hari pertama berkata, negara itu akan mengesan negara yang mengingkari perjanjian perdagangan dan menggugat pekerja di kalangan rakyatnya.

Ia juga menyebut, Trump komited untuk berunding dengan perjanjian dagangan lain, Perjanjian Dagangan Bebas Amerika Utara (Nafta) yang ditandatangani AS, Kanada dan Mexico pada 1994.

"Untuk sekian lama, rakyat Amerika terpaksa menerima perjanjian dagangan untuk kepentingan golongan elit Washington dengan menggunakan tenaga kerja rakyat negara ini.

"Hasilnya, ia mengakibatkan kilang ditutup, ada operasi syarikat yang berpindah ke luar negara, manakala rakyat negara ini berdepan dagangan defisit dan industri pengeluaran merudum," katanya.

Kenyataan itu juga menyebut, perjanjian yang adil diperlukan untuk membantu mengembangkan ekonomi AS dan mengembalikan jutaan pekerjaan ke negara itu.

"Strategi bermula dengan menarik balik TPPA dan memastikan sebarang perjanjian dagangan perlu mengutamakan kepentingan pekerja di kalangan rakyat Amerika.

Jika rakan kongsi Nafta enggan memberi keadilan kepada pekerja Amerika dalam perundingan semula perjanjian itu, "Presiden akan memberi notis untuk menyatakan hasrat AS untuk menarik diri daripada Nafta," demikian menurut kenyataan itu.

TPPA yang ditandatangani AS tetapi belum diratifikasikan adalah aspek ekonomi utama pentadbiran Barack Obama.

Sebelum ini, Trump berkata tindakannya untuk menarik balik TPPA adalah selaras dengan ikrar kempen pusat yang dilakukannya sebelum ini.

"Saya sudah meminta pasukan peralihan menyediakan senarai tindakan eksekutif yang boleh kita ambil bagi memulihkan undang-undang dan mengembalikan semula peluang pekerjaan," kata bakal Presiden AS itu dalam satu mesej video yang menggariskan keutamaan yang akan diberikan dalam tempoh 100 hari pertama peralihan kuasa di bawah pimpinan beliau.


Trump, TPPA

Artikel Sebelum

Artikel Lain