WASHINGTON: Demonstrasi aman di bandaraya ini bagi membantah majlis angkat sumpah Presiden Amerika Syarikat ke-45, Donald Trump berakhir dengan penahanan lebih 100 penunjuk perasaan atas kesalahan vandalisme. Kumpulan mencecah hampir 500 orang itu bertindak membaling objek ke arah unit pencegah rusuhan yang melepaskan gas pemedih mata hingga meletus pertempuran antara kedua pihak. Protes anti-Trump bermula sejak Sabtu lalu apabila beberapa ribu penunjuk perasaan melaungkan, 'Tiada keadilan, tiada keamanan', dalam perarakan di sepanjang National Mall ke Tugu Peringatan Luther King Jr. Bagaimanapun, majlis yang dihadiri hampir sejuta orang itu berjalan lancar dan Trump serta ahli keluarganya telah memasuki Rumah Putih. Kempen Trump terhadap kumpulan minoriti menjelang pilihan raya presiden November lalu selain menyifatkan jutawan hartanah itu sebagai bersifat perkauman serta rasis telah mencetus kontroversi dan menimbulkan kemarahan sesetengah rakyat AS. Difahamkan, protes dianjurkan beberapa kumpulan termasuk DisruptJ20 yang mendakwa akan menghantar penunjuk perasaan untuk mengganggu pelantikan Trump dengan menyekat akses awam ke majlis berkenaan.