HAIDAR Mustafa hanya berusia tiga tahun ketika seorang pengebom berani mati melancarkan serangan yang mengorbankan ibu bapanya di Beirut, Lebanon pada November 2015. Haidar terselamat selepas dilindungi oleh ibunya, Leila, 29 dan bapanya, Hessein yang maut akibat terkena letupan penyerang militan Daesh itu. Susulan serangan tersebut, pakcik Haidar, Mohammad, 45, yang menetap di Westminster di London bergegas ke Beirut untuk menjaga kanak-kanak tersebut yang menjadi anak yatim piatu akibat kekejaman Daesh. Haidar bersama ibu bapanya. Kini peminat cilik Real Madrid itu kini yang berusia lima tahun, berharap untuk bertemu semula saudaranya di Britain dan memohon status penduduk tetap. Kisah Haidar itu mungkin tidak diketahui umum, tetapi bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo ternyata lebih peka tentang nasib kanak-kanak malang tersebut. Malah baru-baru ini, Ronaldo dilaporkan menyokong Haidar untuk menetap di Britain bersama pakciknya. Mohammad berharap pihak berkuasa Lebanon dan Britain dapat meluluskan permohonan anak kecil itu untuk tinggal bersama mereka. "Haidar telah melalui pengalaman paling buruk dalam hidupnya. "Perkara yang mampu menggembirakannya selain bertemu Ronaldo adalah menjadi rakyat Britain," katanya. Ronaldo ketika bertemu Haidar. Sementara itu, Ronaldo turut menyampaikan mesej khas kepada Haidar menerusi satu rakaman video. "Saya gembira mendengar kamu (Haidar) dalam keadaan sihat dan semoga masa depan kamu bertambah baik. "Capai impian dan berusaha keras untuk merealisasikannya," kata pemain berusia 32 tahun itu. Permohonan Haidar untuk menetap ke Britain telah dikemukakan pada minggu lepas kepada konsulat Britain di Beirut. Keputusan permohonan tersebut dijangka diketahui dalam tempoh dua minggu.