MEXICO CITY: Kenyataan provokasi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terhadap rakan sejawatnya dari Mexico menyebabkan Enrique Pena Nieto membatalkan pertemuan dengan pemimpin yang baru mengangkat sumpah jawatan minggu lalu itu. Pena Nieto mengumumkan keputusan itu, sekali gus menandakan perbalahan terbaharu kedua-dua pemimpin itu yang dikhuatiri akan mengancam hubungan politik dan perdagangan antara AS-Mexico. "Rumah Putih telah dimaklumkan bahawa saya tidak akan menghadiri mesyuarat yang dijadualkan pada Selasa depan bersama @potus. Mexico mengulangi kesediaan untuk bekerjasama dengan AS bagi mencapai perjanjian yang memihak kepada kedua-dua negara," menurut pemimpin itu menerusi akaun Twitter miliknya. Terdahulu, Trump dengan angkuh menerusi akaun Twitter beliau menyatakan Pena Nieto perlu membatalkan lawatannya ke Rumah Putih jika beliau enggan menanggung kos pembinaan tembok sempadan itu. Dalam perkembangan berkaitan, Trump dilaporkan sedang mempertimbangkan pelaksanaan cukai sebanyak 20 peratus ke atas barangan import dari Mexico sebagai salah satu pilihan untuk membayar kos projek pembinaan tembok di sempadan negara terbabit. Sementara itu, jurucakap Rumah Putih, Sean Spicer memberitahu presiden telah mengemukakan cadangan itu dengan Republikan di Kongres ketika mesyuarat tertutup. Menurutnya, idea cukai import itu bakal menjana AS$10 bilion (RM44 bilion) untuk menanggung kos pembinaan tembok sepanjang 3,200 kilometer tersebut. - CNN