REDWOOD CITY: Jika terasa lapar dan secara kebetulan anda adalah pengguna perkhidmatan DoorDash di Redwood City, kemungkinan makanan seperti burritos atau burger akan dihantar oleh robot. Baru-baru ini perkhidmatan penghantaran makanan itu mengumumkan bahawa dalam beberapa minggu akan datang, beberapa pelanggan akan dapat melihat robot muncul di depan pintu dengan pesanan mereka. Robot binaan Starship Technologies yang berpangkalan di London itu adalah kecil, mempunyai enam roda dan akan bergerak di sepanjang kaki lima dalam kelajuan seperti pejalan kaki. Robot dengan ketinggian paras lutut itu mempunyai ruang untuk menyimpan tiga beg makanan dan boleh membawa muatan penuh seberat kira-kira 50 pound. DoorDash akan melancarkan robot-robot itu di Redwood City sebagai permulaan. Ia akan digunakan untuk penghantaran makanan bagi jarak yang pendek. Robot pandu sendiri itu dilengkapi dengan sembilan kamera untuk mengesan bahaya dan halangan. Namun pada peringkat ujian ini, ia akan diiringi oleh pengendali manusia yang boleh mengawal jika perlu.