BANGKOK: Dalam usaha memastikan wakil Thailand dinobatkan gelaran Miss Universe 2016, seorang pegawai kanan kerajaan secara terbuka menggesa rakyat negara itu mengundi Chalita "Nong Namtan" Suansane sebagai tanda sokongan. Menerusi posting di laman Facebook, jurucakap kerajaan, Werachon Sukhondhapatipak meminta orang ramai mengundi wakil Thailand untuk pertandingan berprestij yang ke-65 yang berlangsung di Manila, Filipina. Leftenan Jeneral Werachon berkata, pengundian dibuka sehingga hari ini dan pengumuman pemenang untuk pusingan akhir akan dibuat pada pukul 7 pagi Isnin (waktu tempatan). "Rakyat Thai, tolong undi untuk dia. Dia begitu cantik. Negara kita antara yang begitu berkuasa di laman sosial," tulis pegawai itu. Berusia 22 tahun, Chalita adalah penuntut fakulti sains di Universiti Mahasarakham. Empat saluran undian disediakan termasuk laman web Miss Universe, vote.missuniverse.com dan Twitter menggunakan hashtags #MissUniverse dan #Thailand. Chalita begitu popular di laman sosial hingga beliau dianggap antara calon paling layak dinobatkan Miss Universe kali ini, sekali gus wakil Thailand ke tiga memenangi mahkota itu selepas Apasra Hongsakula pada 1965 dan Porntip Nakhirunkanok pada 1988. Klip video menampilkan Chalita memperkenalkan dirinya turut disiarkan menerusi laman sosial oleh penganjur pertandingan itu telah mencatat lebih sejuta tontonan pada Sabtu. Daripada 86 wakil seluruh dunia, 12 akan dipilih untuk pusingan kedua dan memperagakan baju mandi sebelum dikurangkan kepada sembilan serta enam pada pusingan keempat. Selain panel hakim, undian penonton seluruh dunia juga boleh membantu peserta untuk mara ke final.- The Bangkok Post