suria

13,000 Tahanan Syria Digantung Beramai-Ramai

DAMSYIK: Rejim Syria dilapor melaksanakan hukuman gantung sampai mati secara beramai-ramai melibatkan 13,000 tahanan di sebuah penjara di negara ini.

Menurut laporan kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International, kebanyakan mangsa merupakan penentang kerajaan Syria yang dijatuhi hukuman mati menerusi perbicaraan singkat mahkamah tentera dalam tempoh empat tahun lalu.

Jelas laporan itu, selepas dijatuhkan hukuman, tahanan akan dibawa menaiki bus menuju terus ke bilik hukuman dan kebiasaannya seramai 20 hingga 50 tahanan akan digantung pada satu-satu masa.

"Maklumat tentang kekejaman rejim Presiden Bashar al-Assad ini diperoleh daripada bekas tahanan, hakim dan pengawal penjara.

"Hukuman secara beramai-ramai itu dilaksanakan di penjara Saydnaya dekat Damsyik sejak 2011 ketika pemberontakan menentang Bashar bermula di Syria," jelas laporan itu.

Laporan berkenaan diperoleh hasil siasatan selama setahun dan diterbitkan dengan tajuk "Human slaughterhouse: Mass hangings and extermination at Saydnaya prison".

Seorang bekas pengawal yang enggan dinamakan mendakwa, setiap malam, seorang banduan akan mengira selipar yang ditinggalkan di luar bilik hukuman.

"Jika tinggal 30 pasang selipar, kami tahu bahawa 15 orang telah dihukum mati.

"Kebiasaannya terdapat antara 30 dan 80 pasang selipar di luar bilik itu," katanya.

Bilik hukuman itu dikenali sebagai "Bangunan Putih" dan hukuman biasanya dilaksanakan pada malam Isnin dan Rabu.

Syria, Bashar al-Assad

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain