NEW DELHI: Seorang bayi yang dilahirkan dengan memiliki dua pasang kaki dan dua kemaluan, selamat menjalani pembedahan membuang lebihan anggota badan tersebut. Bayi berkenaan yang masih belum dinamakan, disifatkan sebagai 'pemberian Tuhan' oleh ibunya, Lalitamma, 23, apabila wanita itu melahirkan anak keduanya pada 21 Januari lalu di Karnataka, India. Pada awalnya, Lalitama dan suaminya, Chennabasava, 26, tidak mahu anak mereka menjalani pembedehan berkenaan dan mahu membesarkan dengan kecacatan itu. Malah pasangan itu memberi alasan keluarga mereka sebagai miskin dan tidak mampu membiayai kos pembedahan yang mahal. Namun mereka berubah fikiran dan membenarkan bayi berkenaan menjalani pembedahan di Bellari, kira-kira 151 kilometer dari rumah mereka. Selepas pembedahan itu, bayi tersebut kini memiliki sepasang kaki dan satu organ kemaluan, sekali gus boleh menjalani kehidupan sebagai kanak-kanak normal. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada keluarga bayi itu menanggung kos pembedahan tersebut atau dibiayai oleh pihak lain.