WASHINGTON: Dua minggu selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menandatangani perintah eksekutif melibatkan warga asing, pihak berkuasa negara itu telah menahan beratus-ratus pendatang tanpa izin. Dalam serbuan besar-besaran yang pertama itu, Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Persekutuan (ICE) menahan pendatang tanpa dokumen perjalanan sah yang tinggal di Atlanta, Austin, Chicago, Los Angeles, New York dan bandar lain. Tindakan itu ternyata telah mencetuskan panik dalam kalangan komuniti imigran seluruh negara. Bagaimanapun, menurut jurucakap ICE Jennifer Elzea, ia adalah operasi biasa. "Fokus operasi ini tidak berbeza daripada rutin biasa harian pasukan operasi pelarian ICE untuk melakukan penahanan," katanya. Ketua operasi ICE Los Angeles, David Marin memberitahu wartawan, setakat ini kira-kira 160 orang sudah ditahan di California. Katanya, kira-kira 75 peratus daripada mereka pernah terbabit jenayah dan beberapa yang lain ditahan semata-mata kerana tidak mempunyai dokumen sah. Pada Jumaat malam lalu, kira-kira 37 pendatang tanpa izin sudah diusir ke Mexico. Dalam perintah Trump yang berkuatkuasa pada 25 Januari lalu, keutamaan pengusiran adalah terhadap lelaki tanpa izin yang sabit kesalahan jenayah termasuk salah laku. Perintah itu adalah salah satu langkah untuk memenuhi janji kempennya mengurangkan jumlah pendatang tanpa izin di Amerika yang dianggarkan berjumlah 11 juta orang. - AFP