suria

Empat Maut, Lebih 100 Cedera Akibat Gempa Bumi Mindanao

MANILA: Empat maut, manakala lebih 100 lagi cedera dalam kejadian gempa bumi yang melanda kepulauan Mindanao di selatan Filipina lewat malam Jumaat.

Bencana itu juga memusnahkan struktur bangunan dan mengakibatkan bekalan elektrik terputus di banyak kawasan.

Gempa bumi berukuran 6.7 skala Richter di bandar Surigao itu bagaimanapun tiada ancaman tsunami.

Ketua Agensi Seismos Filipina, Renato Solidium berkata, 89 gegaran susulan direkodkan dan lebih banyak lagi dijangka berlaku.

Kali terakhir bandar itu mengalami gempa bumi kuat adalah pada ukuran 6.9 pada 1879.

Dalam kejadian itu, penduduk di kawasan terlibat bergegas lari ke kawasan terbuka termasuk taman bagi menyelamatkan diri.

Setakat ini, selain bekalan elektrik terputus, gangguan bekalan air turut dialami penduduk terlibat.

Bangunan termasuk hotel dan kediaman juga musnah dalam kejadian itu.

Setakat ini, pihak berkuasa juga menutup operasi lapangan terbang Surigao susulan retakan yang dialami di landasan.-Reuters


Surigao, gempa bumi, Mindanao

Artikel Lain