BALI: Dua belas penduduk termasuk tiga kanak-kanak maut ketika sedang nyenyak tidur akibat tertimbus dalam insiden tanah runtuh di beberapa kampung di destinasi pelancongan Indonesia ini. Semua mangsa terkorban selepas kediaman mereka dilanda tanah runtuh akibat hujan lebat sejak beberapa hari lalu. Kejadian yang berlaku di daerah Kintamani pada Khamis malam juga menyebabkan beberapa rumah ditimbus tanah runtuh dan rosak teruk. “Hujan lebat sepanjang hari menyebabkan tanah runtuh di tiga kampung yang mengakibatkan 12 penduduk maut,” kata jurucakap agensi bantuan bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho. Menurutnya, tiga kanak-kanak yang maut dalam tragedi berkenaan berusia setahun, tujuh dan 10 tahun. “Lima lagi mangsa cedera dengan tiga daripada mereka parah,” jelasnya. Katanya, kejadian berlaku ketika kebanyakan penduduk kampung tidur di dalam rumah masing-masing. Seorang pegawai agensi bantuan di Bali berkata, setakat ini, semua penduduk yang tinggal di kawasan berisiko berlaku tanah runtuh sudah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara. “Pihak berkuasa bimbang kejadian tanah runtuh mungkin berlaku lagi berikutan hujan lebat dijangka berterusan selama beberapa hari lagi,” katanya. Tanah runtuh sering berlaku ketika musim hujan di Indonesia dan banyak mengorbankan penduduk yang tinggal di kawasan lereng bukit untuk aktiviti pertanian.-AFP