SINGAPURA: Hasrat sebuah keluarga untuk berjalan-jalan di Taman Botanik Singapura bertukar tragedi apabila seorang warga India maut dihempap sebatang pokok tembusu yang tumbang. Pokok setinggi 40 meter yang tumbang itu turut mengakibatkan empat lagi cedera, termasuk suami mangsa dan dua anaknya. Saksi, Jonathan Ang, 29, yang duduk 30 meter daripada lokasi kejadian berkata, bunyi begitu kuat seperti guruh pada kira-kira 4.25 petang. Katanya, hanya beberapa saat, pokok itu tumbang berdekatan dengan pokok-pokok sawit. Pokok tersebut yang berusia lebih 270 tahun menghempap seorang wanita warga India. Suami mangsa, warga Perancis mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas terkena dahan pokok. Polis Singapura dalam satu kenyataan berkata: "Polis mengesahkan si mati merupakan wanita warga India berusia 38 tahun yang datang bersama keluarganya. Suaminya, warga Perancis berusia 39 tahun dan dua anak mereka mengalami kecederaan. Tambah polis Singapura, seorang wanita warga Singapura berusia 26 tahun turut cedera dalam insiden itu. - The Straits Times/Asia News Network