WASHINGTON: Lebih 680 pendatang ditahan dalam operasi pihak berkuasa imigresen Amerika Syarikat (AS), di mana 75 peratus daripadanya membabitkan individu yang memiliki rekod jenayah. Penahanan itu bagaimanapun menimbulkan kebimbangan aktivis hak asasi pendatang. Menjelaskan perkara itu, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, John Kelly berkata, ia hanya operasi rutin dan konsisten dengan operasi biasa yang dijalankan pihak Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS (ICE). Kumpulan hak pendatang mendakwa, ejen mengusir golongan itu secara rambang, malah operasi disifatkan tanpa mengambil kira tahap ancaman pendatang atau hubungan kekeluargaan mereka dengan AS. Kelly dalam kenyataannya berkata, jenayah yang dilakukan pendatang tanpa izin terbahagi kepada pelbagai kategori daripada membunuh kepada memandu dalam keadaan mabuk. Sementara itu, menurut ICE, sebilangan pendatang yang ditahan tidak mengendahkan arahan terakhir pengusiran. Malah, ICE tidak menyatakan alasan lain mengenai penahanan segelintir pendatang, selain mendakwa mereka berada di negara ini secara haram. Sebelum ini, bekas Presiden Barack Obama pernah dikritik kerana didakwa menjadi 'ketua pengusiran' selepas menghantar balik lebih 400,000 pendatang pada 2012, lebih daripada dilakukan mana-mana presiden dalam masa setahun. Presiden Donald Trump berjanji untuk mengusir antara dua hingga tiga juta pendatang yang memiliki rekod jenayah. Pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pada Isnin, Trump berkata, pentadbirannya melakukan kerja hebat dalam penangkapan pendatang baru-baru ini. "Kami tegas ketika menangkap penjenayah dan dalam beberapa kes membabitkan mereka yang mempunyai rekod penderaan dan pelbagai masalah lain," katanya. - Reuters