suria

Gabenor Jakarta: Nasib Ahok Diketahui Esok

JAKARTA: Jutaan penduduk Indonesia akan mengundi dalam pilihan raya tempatan bagi perebutan jawatan gabenor bandaraya ini yang sebelum ini mencuri tumpuan ramai  selepas mencetuskan ketegangan politik dan agama.

Setakat ini, kira-kira 16,000 anggota polis siap siaga untuk memantau proses pemilihan itu susulan beberapa tunjuk perasaan yang telah diadakan sebelum ini.

Kira-kira 7.1 juta pengundi berdaftar di sini akan memilih sama ada mengekalkan Basuki Tjahaja Purnama yang beragama Kristian dan dari etnik Cina sebagai gabenor atau memilih pemimpin yang baharu.

Basuki atau dikenali sebagai Ahok popular dalam kalangan penduduk Jakarta kerana berjaya mengurangkan masalah banjir dan kesesakan jalan raya di bandar itu.

Ahok dilihat mempunyai peluang cerah untuk mempertahankan jawatan itu tetapi kontroversi menghina al-Quran oleh pemimpin itu menyebabkan sokongan terhadapnya jatuh mendadak.

Beliau kini berdepan perbicaraan di mahkamah atas tuduhan menghina agama Islam dan boleh dipenjarakan sekiranya didapati bersalah.

Bagi negara ini, jawatan gabenor Jakarta dianggap penting kerana dianggap batu loncatan ke kerusi presiden Indonesia, seperti Joko Widodo yang juga gabenor Jakarta sebelum memenangi pilihan raya presiden pada 2014.

Jawatannya sebagai gabenor Jakarta diganti oleh Ahok yang ketika itu menjadi timbalan gabenor.

Menurut penganalisis politik, Dr Tobias Basuki, pemilihan gabenor Jakarta kali ini juga dianggap ujian kepada toleransi agama di Indonesia apabila Ahok dicabar oleh dua calon beragama Islam.

Berdasarkan tinjauan terkini, Ahok dikatakan diekori rapat oleh bekas menteri pendidikan, Anies Baswedan yang disokong parti Gerinda dan memfokuskan untuk meningkatkan pendidikan dan mengatasi kenaikan harga makanan dan kos sara hidup.

Calon ketiga adalah anak sulung bekas presiden Susilo Bambang Yudhoyono, Agus Yudhoyono yang bersara dari perkhidmatan tentera untuk bertanding dalam pilihan raya itu.

Agus, 38, yang dilihat kurang berpengalaman dalam politik disokong Parti Demokrat dan beberapa parti Islam meletakkan usaha bagi meningkatkan taraf hidup penduduk miskin dan pemberian wang tunai kepada keluarga berpendapatan rendah sebagai janji kempen pilihan rayanya.- The Straits Times

Ahok, Jakarta, Joko Widodo

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain