suria

Detik Hitam Dirogol Ketika Mengandung

SEORANG pelarian kanak-kanak Rohingya mengesat air mata selepas menangis di kem pelarian di Teknaf pada 15 Februari 2017. - REUTERS

TEKNAF: Dirogol ketika sedang sarat mengandung lapan bulan merupakan detik hitam yang terpaksa dilalui seorang wanita Rohingya yang kini berlindung di kem pelarian Leda di sini.

Mahu dikenali hanya sebagai Senuara, 19, beliau berkata detik hitam itu dilaluinya pada awal November 2015 ketika cuba melarikan diri dari wilayah Arakan untuk ke tempat yang lebih selamat. 

Beliau mendakwa diperlakukan seperti hamba seks dan dirogol ketika kemuncak kezaliman dan penindasan pemerintah di wilayah Arakan, Myanmar. 

Umpama 'Ditelan mati emak, diluah mati bapa', beliau pada awalnya enggan membuka bicara namun kemudian memberanikan diri menceritakan pengalaman hitam yang dilaluinya.

"Mereka (tentera Myanmar) melakukan perbuatan terkutuk itu tanpa belas kasihan dengan suami saya turut dibunuh oleh mereka

"Apa yang saya ingat ada dua orang anggota (tentera Myanmar) yang buat perbuatan ini, seorang pegang dan seorang rogol secara bergilir-gilir," dakwanya menerusi penterjemah dengan menggunakan bahasa Melayu di sini.

Dengan nada sedih, Senuara berkata beliau mahu segera melupakan kejadian ngeri itu dan memulakan hidup baru di kem ini. 

"Saya kini tinggal bersama dua anak lelaki yang berusia dua tahun dan dua bulan, kami selesa tinggal di kem ini dan bersyukur masih ada yang prihatin terhadap nasib kami," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Lebih 100,000 etnik Rohingya berada di kem pelarian Leda dan kem itu dipantau oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Kem berkenaan dijaga oleh tentera Bangladesh dengan rata-rata masyarakat Rohingya yang berada di kem itu mempunyai tempat tinggal. 

Masyarakat Rohingya, yang merupakan satu kumpulan etnik di utara Myanmar, mendapatkan perlindungan di negara luar berikutan keadaan politik dan sosial yang tidak menentu di tanah air mereka di wilayah Arakan.

Selasa lepas, Kapal Nautical Aliya yang membawa lebih 2,000 tan metrik bantuan kemanusiaan untuk etnik Rohingya menerusi misi 'Food Flotilla For Myanmar' tiba di pelabuhan Chittagong.

Bantuan itu akan diagihkan di tiga kem pelarian di Kutupalong, Cox's Bazar dan Teknaf dengan bantuan Persatuan Bulan Sabit Merah Bangladesh dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran (IOM).

Kapal berkenaan berlepas dari Pelabuhan Klang pada 3 Februari lepas dan menurunkan sebahagian bantuan itu di Pelabuhan Yangon, Myanmar pada 9 Februari.

Rohingya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain