suria

Anak Jong-nam, Han-sol Tarik Perhatian Dunia Sejak Remaja

HONG KONG: Misteri kematian Kim Jong-nam telah menarik perhatian dunia kepada anak lelakinya, Kim Han-sol yang telah menggambarkan kehidupan zaman kanak-kanaknya yang disisih, harapan untuk pulang ke kampung halaman dan impian melihat penyatuan Korea.

Ia dinyatakan menerusi video temu bual dengannya yang dirakamkan pada 2011, bagaimanapun lokasi terkini Han-sol tidak diketahui.

Akhbar Korea Selatan, Chosun Ilbo yang ke dua hartanah dipercayai milik keluarga mangsa mendapati Han-sol, adik perempuannya, Kim Sol-hui dan ibu mereka, Lee Hye-Kyong dipercayai telah meninggalkan kediaman mereka.

Pihak berkuasa perundangan Macau berkata, pihaknya akan memastikan keselamatan dan hak penduduk serta pengunjung Macau.

Sementara itu, menurut agensi perisikan Korea Selatan, keluarga itu mendapat perlindungan negara China, malahan isteri pertama Jong-nam serta seorang lagi anak lelakinya dilaporkan menetap di Beijing.

Berdasarkan gambar di laman Facebook Han-sol, anak muda berusia 22 tahun itu sering berpenampilan menarik, gemar memakai pakaian hitam, rambut yang diwarnakan oren, bersubang serta berkaca mata hitam.

Han-sol pertama kali mendapat perhatian media pada 2011 ketika berusia 16 tahun apabila tidak mendapat visa pelajar oleh kerajaan Hong Kong walaupun diterima sebagai pelajar Po Chun United World College.

Bekas pengetua kolej berkenaan, Stephen Codrington yang menemubualnya menganggap dia seorang remaja yang berkarisma dan bijak, selain fasih berbahasa Inggeris, demikian dilaporkan Sunday Morning Post.

Dilahirkan pada 1995, zaman kanak-kanaknya dihabiskan di Pyongyang sebelum Han-sol berpindah ke Macau. Bagaimanapun hubungan dengan ahli keluarga tidak terputus kerana mereka sering berhubung dan mengunjungi negara kelahirannya, demikian katanya kepada Elisabeth Rehn yang bertugas di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi temu bual itu.

Fasih berbahasa Inggeris, Han-sol menganggap kehidupan kanak-kanaknya tersisih, sekali gus menyebabkan dia tidak mempunyai ramai kawan di Korea Utara.

Bagaimanapun lain pula situasinya di Macau, apabila Han-sol berkesempatan bergaul dengan komuniti global termasuk rakyat Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Hubungannya yang erat dengan rakyat negara asing menyebabkan dia memutuskan untuk melanjutkan pengajian di sebuah kolej di Mostar, Bosnia-Herzegovina.

Beliau mengikut program melibatkan pengajian subjek kimia, fizik, matematik atau ekonomi dalam bahasa Inggeris bersama pelajar lain berusia antara 16 dan 18 tahun, demikian lapor The Telegraph pada 2011.

Menerusi video itu juga, Han-sol begitu teruja menceritakan mengenai kehidupannya sebagai pelajar selain rakan-rakannya di kalangan warga Libya dan Korea Selatan, selain mengakui kurang selesa dengan perhatian media terhadapnya.

Hari pertama tiba ke kolej berkenaan memberi tekanan padanya apabila ramai media bersedia menunggu kehadirannya.

Beliau juga secara terbuka menyatakan hasratnya melihat penyatuan antara Korea Utara dan Selatan kerana sedih apabila tidak dapat ke Korea Selatan untuk menemui kenalannya.

Pada Disember 2013 pula, Han-sol sekali lagi mendapat perhatian media apabila mendapat perlindungan polis Perancis ketika mengikuti pengajian tahun pertama di kampus Science Po University. - South China Morning Post
Han-sol, Korea Utara, Macau

Artikel Berikut

Artikel Lain