SEOUL: Korea Selatan berkata siasatan Malaysia ke atas kes pembunuhan Kim Jong-nam menunjukkan bahawa kerajaan Pyongyang merupakan dalang di sebalik insiden tersebut. Polis Malaysia menahan salah seorang suspek warga Korea Utara dan sedang memburu empat yang lain. Empat lagi suspek dilaporkan telah meninggalkan negara itu pada Isnin, hari sama kejadian membabitkan abang tiri pemimpin tertinggi negara itu. Jong-nam maut selepas diserang dua wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) dipercayai dengan menyembur cecair beracun ke mukanya. "Berdasarkan kepada pelbagai faktor, kerajaan kita pasti mayat itu adalah Kim Jong-nam dan menganggap lima suspek itu merupakan warga Korea Utara. Kita berpendapat kerajaan Korea Utara dalang di sebalik insiden itu," kata jurucakap kementerian penyatuan Korea Selatan, Jeong Joon-Hee pada Ahad. Jeong bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenainya dengan berkata siasatan itu sedang dijalankan di Malaysia. "Oleh kerana Korea Utara melakukan jenayah tidak berperikemanusiaan dan perbuatan keganasan, kita akan sentiasa mengikut perkembangan terbaharu kes itu dengan serius," kata Jeong.