WASHINGTON: Terkini, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) mengeluarkan arahan melancarkan operasi menahan dan mengusir pendatang asing tanpa izin (Pati) yang keseluruhannya mencecah hampir 11 juta di Amerika Syarikat (AS). Menerusi dua pekeliling yang dikeluarkan Setiausaha DHS, John Kelly, pengawal sempadan dan anggota imigresen diarahkan supaya segera mengusir Pati dengan pengecualian terhad diberikan kepada kanak-kanak. Operasi pembersihan itu menyasarkan Pati yang mempunyai rekod jenayah, bagaimanapun sesiapa sahaja daripada golongan tersebut yang pernah didakwa atau berpotensi untuk dihadapkan ke mahkamah juga akan diusir. “Pengecualian yang diberikan sangat terhad. DHS akan bertindak terhadap hampir semua Pati. “Mereka yang melanggar undang-undang imigresen boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk diusir dari AS,” kata jabatan itu. Selain tindakan arahan tindakan segera terhadap pendatang asing yang masuk secara haram itu, Kelly juga mengarahkan supaya perancangan dibuat untuk membina tembok di sepanjang sempadan AS dengan Mexico. Selain itu, beliau turut meluluskan pengambilan 5,000 anggota baharu untuk agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan dan 10,000 kakitangan agensi Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam. Presiden AS, Donald Trump mengarahkan tindakan segera dilakukan untuk membina tembok di sepanjang AS-Mexico sejauh 3,145 kilometer, mengetatkan kawalan sempadan dan memperhebatkan operasi terhadap Pati selepas majlis angkat sumpah beliau pada 20 Januari lalu. DHS berhenti menguatkuasakan sekatan imigresen dan membekukan seketika operasi menangkap PATI selepas seorang hakim mahkamah persekutuan menggantung arahan eksekutif Trump awal bulan ini. – AFP