JAKARTA: Kerajaan Indonesia sedia memberi ruang secukupnya dan menghormati usaha pihak berkuasa Malaysia menjalankan siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam di mana salah seorang suspek melibatkan rakyat negara itu. "Kami menghormati proses perundangan Malaysia dan akan terus menunggu sehingga pihak perundangan kami dibenarkan untuk menemui Siti Aisyah kerana itu adalah fokus utama kami," kata Pengarah Perlindungan Rakyat dan Entiti Indonesia Luar Negara, Muhammad Iqbal. Menurut undang-undang Malaysia, pihak berkuasa berhak untuk menolak permohonan untuk peguam menemui suspek kes sehingga siasatan selesai. Kata Iqbal, bagaimanapun masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan dan keputusan untuk melanjutkan tujuh hari lagi tahanan reman Siti Aisyah kerana kekurangan bukti. "Terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan perundangan berhubung kes ini," katanya dalam kenyataannya kepada The Jakarta Post pada Rabu. Sementara itu, Ketua Polis Negara, Jeneral Tito Karnavian memberitahu media, pihaknya juga berhubung dengan polis Malaysia berkaitan kes berkenaan. Beliau berkata, pihaknya menyerahkan kepada Malaysia untuk menetapkan sama ada bukti mencukupi atau sebaliknya untuk mendakwa Siti Aisyah dan suspek lain. "Perkara ini akan diberi perhatian tetapi sama ada ada kes atau tidak, ia akan dilengkapkan pihak berkuasa Malaysia. "Jika suspek didapati tidak bersalah, kita terima keputusan itu tetapi jika dia dibuktikan bersalah, tentunya dia perlu melalui proses mengikut perundangan Malaysia," katanya. Setakat ini, empat suspek ditahan termasuk dua wanita yang menyerang Jong-nam di KLIA2 serta seorang warga Korea Utara dan teman lelaki Siti Aisyah yang juga rakyat Malaysia yang telah dibebaskan pada Rabu. Empat dalang utama dikatakan telah meninggalkan Malaysia pada hari kejadian iaitu 13 Februari lalu, manakala dua lagi telah dikenal pasti iaitu seorang diplomat kedutaan Korea Utara dan seorang petugas syarikat penerbangan negara itu.