DUA wanita melalui perjalanan 2,000 kilometer dari Medan ke Bogor di Jawa Barat semata-mata untuk melihat Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud. Dhani dan Herrydobe, kedua-duanya berusia 65 tahun menaiki kapal dari Medan di Sumatera Utara dan tiba di Bogor pada pagi Rabu hanya beberapa jam sebelum Raja Salman tiba untuk lawatan rasmi ke Indonesia. "Saya sengaja datang ke sini untuk melihat Raja Salman di Istana Bogor," kata Dhani kepada kompas.com. Katanya, kali terakhir kerabat Arab Saudi melawat Indonesia adalah 46 tahun lalu dan ketika itu dia tidak berkesempatan melihat saat bersejarah itu. Sehubungan itu, katanya, dia bersama rakannya merancang perjalanan ini untuk bersama rakyat lain meraikan kedatangan Raja Salman. Wanita itu berharap kedatangan kerabat diraja Timur Tengah itu dapat membawa hasil positif kepada negaranya berkaitan pelbagai isu termasuk ekonomi dan juga berkaitan haji. Kedua-duanya menyertai ribuan penduduk yang menunggu di sepanjang jalan menuju ke Istana Bogor di mana Raja Salman bertemu Presiden Joko Widodo pada Rabu.