WASHINGTON: Wanita dan kanak-kanak yang memasuki Amerika Syarikat (AS) secara haram terutama di sempadan Mexico mungkin akan diasingkan, demikian cadangan yang dipertimbangkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) AS. Sebagaian alasan yang digariskan untuk melaksanakan peraturan itu adalah bagi menghalang wanita yang juga seorang ibu berhijrah bersama anak mereka ke AS, kata pegawai jabatan berkenaan. Perubahan polisi itu bagi membolehkan pihak berkuasa AS menahan pendatang asing sehingga menunggu proses penghantaran balik atau perbicaraan untuk mendapatkan perlindungan. Pada masa sama, kanak-kanak akan diletakkan dalam penjagaan Jabatan Kesihatan dan Khidmat Awam sehingga mendapat pengesahan untuk menetap dengan ahli keluarga di AS atau mendapat tajaan penjaga di negara itu. Ketika ini, keluarga yang akan dihantar pulang ke negara asal atau memohon untuk mendapatkan perlindungan di AS secara umumnya dibebaskan daripada tahanan dan dibenarkan menetap di AS sehingga kes selesai. Bagaimanapun, proses rayuan biasannya menyebabkan tempoh penahanan kanak-kanak lebih lama. Presiden Donald Trump mengarahkan supaya menamatkan proses "tahan dan bebas" di mana migran yang memasuki AS secara haram dibenarkan tinggal di negara itu sementera menunggu prosiding undang-undang. Taklimat berkaitan cadangan itu dikendalikan Ketua Jabatan Imigresen dan Kerakyatan AS, John Lafferty pada 2 Februari lalu. Setakat ini, DHS sedang mempertimbangkan untuk memisahkan antara wanita dan anak mereka tetapi keputusan masih belum dibuat setakat ini. Kira-kira 54,000 kanak-kanak dan penjaga ditahan antara 1 Oktober 2016 dan 31 Januari 2017, dua kali ganda berbanding tempoh sama pada 2015.