CALIFORNIA: Seorang lelaki di Amerika Syarikat (AS) sanggup menghabiskan wang sebanyak AS$50,000 (RM222,600) semata-mata mahu memiliki rupa seperti makhluk asing. Vinny Ohh, seorang jurumekap dari Los Angeles, California telah lebih 110 pembedahan plastik bagi memenuhi impiannya yang pelik itu. Ohh mendakwa dia mahu kelihatan seperti makhluk asing agar tidak wujud perbezaan antara jantina lelaki dan perempuan selain mahu mendalami dirinya. Dia memulakan projek luar biasa itu pada usia 17 tahun dengan mengubah bentuk bibir disusuli dengan dua pembedahan di bahagian hidung, pipi dan kening. Sejak itu dia menjalani lebih banyak pembedahan dan kini merancang mahu melaksanan prosedur yang lebih mahal dengan melibatkan kos AS$160,000 RM712,320 untuk membuang bahagian kemaluan, dada, pusat perut dan menukar struktur dahinya. Bagi memperlihatkan kesungguhannya menjadi makhluk asing, Ohh sering memakai kanta lekap hitam bersaiz besar, berkuku panjang dan mewarnai rambut dengan warna pelik. Dia juga mencukur semua bulu kening supaya kelihatan lebih nyata seperti makhluk asing. "Saya mahu menjadi makhluk asing berjantinakan hybrid iaitu bukan lelaki atau wanita," kata lelaki berusia 22 tahun itu menurut laporan portal Oddity Central.