NEW YORK: Empat lagi negeri Amerika Syarikat (AS) menyertai tindakan Hawaii mengambil tindakan undang-undang terhadap arahan eksekutif terbaharu yang dikeluarkan oleh Presiden Donald Trump berhubung larangan kemasukan orang Islam ke negara ini. Berdasarkan arahan terbaharu itu, Trump mengenakan sekatan selama 90 hari terhadap enam buah negara Islam untuk memasuki AS selain menangguhkan program kemasukan pelarian selama 120 hari. Enam negara terbabit merupakan Somalia, Iran, Syria, Sudan, Libya dan Yemen. Empat negeri terbaharu membantah tindakan Trump itu merupakan Oregon, Washington, New York dan Massachusetts. Oregon menyifatkan arahan Trump itu sebagai menjejaskan penduduk, pekerja, sistem kesihatan, universiti dan ekonomi negara manakala Washington menganggap larangan terbabit mempunyai motif yang sama seperti arahan terdahulu. New York pula menyelar arahan itu sebagai larangan ke atas penduduk Islam dengan berselindung menggunakan nama lain dan Massachusetts menyifatkan larangan Trump tersebut bersifat demokrasi dan tidak mengikut Perlembagaan. Pada Khamis, Hawaii menjadi negeri pertama AS membantah secara rasmi arahan eksekutif Trump dengan mengemukakan saman terhadap Kerajaan Persekutuan. Trump mengeluarkan arahan terbaharu itu selepas larangan yang dikuatkuasakan pada Januari lalu dihalang oleh Mahkamah Persekutuan dan ditentang oleh rakyatnya sendiri.