suria

Pelajar Protes Peraturan Had Guna Tandas

PERATURAN baharu penggunaan tandas di sebuah sekolah di Yorkshire Utara, United Kingdom telah mengakibatkan lebih 40 pelajar mengadakan protes.

Tunjuk perasaan itu bermula di tandas pelajar perempuan di Sekolah Tinggi Bedale, malah ia turut disiarkan secara langsung menerusi laman sosial.

Susulan itu juga, pihak polis terpaksa bergegas ke lokasi bagi mengawal situasi.

Menurut ibu bapa pelajar, sekolah berkenaan telah mengenakan peraturan baharu yang hanya membenarkan pelajarnya menggunakan toilet antara pukul 11.05 pagi dan 11.25 pagi serta 12.25 tengahari dan 12.45 tengahari sahaja.

Langkah di sekolah dengan lebih 500 pelajar itu turut tersebar di laman media sosial Facebook di kalangan ibu bapa pelajar sekolah itu.

Status di Facebook itu meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan sekolah berkenaan kerana berdasarkan masa yang ditetapkan itu, pelajar sekolah itu tidak dibenarkan ke tandas selepas waktu rehat.

Ibu bapa lain pula berkata, anak perempuannya yang pulang lewat kerana perlu melakukan kerja sekolah tambahan juga dilarang menggunakan tandas.

Jurucakap pihak berkuasa tempatan daerah itu berkata, peraturan baharu itu adalah antara langkah untuk memperbaiki sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu.

"Langkah itu juga bagi mengukur tahap tumpuan pelajar dan sebab itu mereka hanya dibenarkan untuk menggunakan tandas pada waktu yang ditetapkan sahaja.

"Bagaimanapun jika penggunaan tandas perlu untuk tujuan tertentu seperti masalah kesihatan atau kecemasan, pihak sekolah akan memberi kebenaran," katanya.

Bedale, North Yorkshire

Artikel Lain