suria

Lelaki Ceroboh Rumah Putih, Dakwa 'Kawan' Trump

WASHINGTON: Seorang lelaki membawa beg sandang berisi surat khusus buat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ditahan selepas melepasi kawalan keselamatan Rumah Putih pada lewat Jumaat malam.

Hasil pemeriksaan juga menemui pasport, komputer riba dan buku yang ditulis Trump dalam beg berkenaan.

Pegawai Khidmat Risikan mengesan kehadiran lelaki itu berhampiran pintu selatan ke arah kediaman eksekutif di kompleks berkenaan.

Kejadian itu berlaku sebelum tengah malam ketika Presiden AS berada di Rumah Putih.

Suspek dikenal pasati sebagai Jonathan T.Tran, 26 dari California.

"Saya kenalan kepada Presiden, saya ada temujanji dengannya," dakwa Tran menurut laporan yang dikeluarkan Jabatan Polis Metropolitan Washington pada Sabtu.

Ditanya bagaimana dia boleh masuk ke kawasan kompleks itu, Tran menjawab: "Saya memanjat pagar."

Suspek dihadapkan ke mahkamah pada pukul 5 petang Sabtu dan didakwa kerana memasuki kawasan larangan. Kes itu akan disebut di Mahkamah Persekutuan pada Isnin.

Susulan kejadian itu, Rumah Putih diletakkan di bawah situasi keselamatan tahap 'jingga', antara yang tertinggi yang ditetapkan pasukan Khidmat Risikan.

Presiden AS turut dimaklumkan berhubung kejadian itu.

Adik suspek berusia 19 tahun, Brian dari Milpitas, California berkata, abangnya berhadapan masalah selepas diberhentikan kerja dari syarikat kejuruteraan elektrikal.

Rumah Putih, Trump, Tran

Artikel Berikut

Artikel Lain