suria

Tanah Runtuh Di Ethiopia, 46 Maut

PASUKAN penyelamat menggunakan jengkaut untuk mencari mangsa yang terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Addis Ababa pada 12 Mac 2017. - AFP

ADDIS ABABA: Sekurang-kurangnya 46 orang terbunuh dan berpuluh-puluh mangsa lagi masih hilang dalam insiden tanah runtuh di kawasan pelupusan sampah di ibu negara Ethiopia kelmarin.

Kejadian pada lewat Sabtu itu menyebabkan kira-kira 30 rumah setinggan yang dibina berdekatan kawasan pelupusan di Koshe dekat Addis Ababa, ranap sepenuhnya akibat tanah runtuh tersebut.

Menurut ketua biro komunikasi bandar itu, Dagmawit Moges, kebanyakan mangsa yang terbunuh merupakan wanita dan kanak-kanak.

"Kami menjangkakan angka kematian akan meningkat kerana lebih banyak mayat mangsa ditemukan disebabkan kawasan tanah runtuh meliputi lokasi yang luas.

"Namun pihak berkuasa masih belum dapat mengenalpasti punca sebenar kejadian," katanya.

Difahamkan, kira-kira 150 orang berada di kawasan tragedi ketika tanah runtuh itu berlaku dan berpuluh-puluh mangsa lagi dilaporkan masih hilang.

Setakat ini, seramai 37 mangsa berjaya diselamatkan dan menerima rawatan di hospital tempatan.

Kawasan berbukit itu menjadi tempat pelupusan sampah di ibu negara sejak lebih 50 tahun lalu selain menjadi lokasi punca rezeki golongan miskin.

Tanah Runtuh, Ethiopia

Artikel Lain