suria

Bapa 'Akhiri' Rawatan Anak Hidap Penyakit Pokok

-fotoAFP
DHAKA: Kanak-kanak perempuan Bangladesh yang disahkan menghidap penyakit pelik, dikenali sebagai 'sindrom manusia pokok' telah meninggalkan hospital, bapanya memberitahu AFP, Isnin.

Pembedahan terhadap Sahana Khatun, 10, telah dilakukan pada bulan lalu dan beberapa kutil yang tumbuh di mukanya, kelihatan seperti kulit pokok telah dibuang.

Budak perempuan ini dipercayai menjadi perempuan pertama di dunia yang menghidap penyakit ganjil itu dan dirawat secara percuma di Hospital Kolej Perubatan Dhaka.

Doktor menganggap pembedahan awal sebagai berjaya, tetapi bapa Sahana, Mohammad Shahjahan berkata ia hanya memburukkan keadaan anaknya dan dia tidak mahu anaknya terus menjalani prosedur selanjutnya.

"Mereka telah membuang ketumbuhan seperti kulit pokok itu dan ia telah tumbuh dan berkembang dengan lebih tebal dan besar," katanya kepada AFP.

"Saya takut. Mereka kata anak perempuan saya perlukan 8-10 lagi pembedahan. Tetapi apa jaminan bahawa dia akan sembuh selepas itu," katanya.

Ketua unit pembedahan plastik hospital berkenaan, Samanta Lal Sen berkata berkata beliau mahu kanak-kanak itu terus berada di hospital untuk pembedahan lanjut tetapi bapanya, seorang buruh tidak bersetuju.

"Dia dan anak perempuannya meninggalkan hospital, merungut bahawa tidak ada kemajuan. Kami telah minta mereka untuk tinggal di hospital beberapa minggu lagi untuk rawatan," kata Sen kepada AFP.

Penyakit ganjil ini hanya dihidapi empat orang sahaja di seluruh dunia, kesemuannya lelaki.

Antaranya adalah seorang penarik beca, Abul Bajandar, 27, dari Bangladesh yang telah menjalani sekurang-kurangnya 21 prosedur pembedahan untuk membuang ketumbuhan besar seberat lima kilogram setiap satu dan doktor percaya dia mungkin menjadi pesakit pertama yang akan sembuh.

Bapa Sahana, seorang duda, berkata dia juga berdepan masalah kewangan sepanjang anaknya dirawat.

"Saya terpaksa sentiasa beradadi sisinya dan tidak pergi bekerja. Saya tiada wang untuk memberinya makanan dengan betul," katanya.

"Dialah satu-satunya ahli keluarga yang ada dan saya tidak mahu melihat dia sedih duduk di katil hospital."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain