MEXICO CITY: Sekumpulan 29 banduan meloloskan diri di sebuah penjara Mexico pada Khamis lalu selepas menggali sebuah terowong sejauh 36 meter melepasi dinding penjara tersebut. Kejadian itu berlaku di penjara di Ciudad Victoria dekat negeri Tamaulipas, utara Mexico selepas pihak berkuasa mendapati kebanyakan banduan yang melarikan diri merupakan anggota kumpulan dadah Zetas. Jurucakap keselamatan negeri, Alberto Rodriguez berkata, terowong terbabit mempunyai kedalaman lima meter dan lubang awal digali di dalam sebuah pondok di dalam kawasan penjara tersebut. Ujarnya, seramai 13 banduan berjaya dicekup semula manakala 16 lagi masih diburu. "Pihak pejara telah memusnahkan pondok yang dibina secara haram itu selain menutup semula lubang berkenaan menggunakan simen konkrit," katanya menurut laporan portal Mail Online. Ekoran tindakan pihak berkuasa menutup lubang itu, satu rusuhan tercetus dalam kalangan banduan pada hari berikutnya. Tiga banduan ditikam mati manakala seorang lagi banduan dilaporkan cedera parah.