suria

Pemimpin Pembangkang Ditahan Protes Pecat Ahok

JAKARTA: Polis Indonesia menahan lima individu termasuk pemimpin pembangkang Islam kerana disyaki berkomplot, sebelum protes melibatkan ribuan umat Islam menuntut Gabenor Jakarta dipecat.

Ketegangan politik dan agama yang tercetus di republik itu semakin memuncak menjelang pusingan akhir pilihan raya Jakarta pada 19 April ini.

Penyandang jawatan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama yang dikenali sebagai Ahok sedang dibicarakan kerana mengeluarkan kata-kata menghina Islam bertanding melawan calon Muslim.

Jurucakap polis Jakarta, Argo Yuwono berkata, lima individu telah ditahan awal pagi Jumaat termasuk Muhammad Al-Khaththath iaitu pemimpin Forum Komuniti Islam (FUI) yang juga kumpulan pembangkang kerana menganjurkan perhimpunan tersebut.

“Kami mendakwa mereka kerana berkonspirasi dan berkomplot. Terdapat beberapa penemuan termasuk perancangan untuk memasuki Parlimen Indonesia,” kata Yuwono kepada stesen televisyen TVOne.

Hampir 20,000 penunjuk perasaan berhimpun di Masjid Besar Jakarta ketika polis dan anggota tentera menutup jalan menuju ke istana Presiden di pusat bandar.

Protes umat Islam menyasarkan Ahok, etnik Kristian Cina yang dalam perbicaraan kerana didakwa menghina al-Quran ketika berkempen mengenai bagaimana rakyat perlu mengundi. Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Ketika ini, Ahok dikatakan kekal sebagai calon popular kerana usahanya untuk mengurangkan birokrasi dan masalah kesesakan kronik serta banjir di Jakarta.

Bagaimanapun, dia berhadapan persaingan sengit dengan lawannya, bekas Menteri Pendidikan, Anies Baswedan. – Reuters



Ahok, FUI

Artikel Lain