suria

AS Kerah Armada Penggempur Ke Semenanjung Korea

WASHINGTON: Ketegangan di Semenanjung Korea semakin memuncak apabila Amerika Syarikat (AS) mengerahkan sebuah armada tentera laut berdekatan kawasan perairan Korea Utara susulan tindakan Pyongyang mengadakan siri ujian peluru berpandu sejak akhir-akhir ini.

Armada tersebut yang digelar sebagai Carl Vinson, melibatkan sebuah kapal pengangkut pesawat yang dikerah dari Singapura menuju ke Semenanjung Korea.

Menerusi satu kenyataan pada lewat Sabtu, Armada Ketiga Tentera Laut AS berkata, kumpulan penggempur itu akan ditempatkan di Laut Pasifik Barat tetapi lokasi tepat kumpulan tersebut tidak dinyatakan.

Armada terbabit akan beroperasi di Laut Pasifik Barat berbanding perancangan awal menuju ke Australia.

"Pusat Perintah Pasifik AS mengarahkan Kumpulan Penyerang Carl Vinson menuju ke utara (Semenanjung KOrea) sebagai langkah persediaan dan mempamerkan kekuatan di Pasifik Barat," kata Komander Dave Benham, jurucakap tentera laut AS.

"Korea Utara menjadi ancaman nombor satu di rantau tersebut ekoran tindakan mereka mengadakan ujian peluru berpandu serta bercita-cita membangunkan senjata nuklear," katanya.

Bagaimanapun Pyongyang mahupun sekutu kuatnya, China masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhuhung tindakan AS itu.

Perkembangan di Korea itu tercetus hanya beberapa hari selepas AS melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Syria.

Awal bulan ini, Korea Utara menguji sebuah peluru berpandu Scud yang dipercayai gagal mencapai jarak yang sepatutnya.

Tahun ini, kerajaan Pyongyang terutamanya pemimpin mereka, Kim Jong-un memberi bayangan bahawa akan mengadakan ujian peluru berpandu balistik, berkemungkinan pada 15 April sempena sambutan ulang tahun ke-105 pengasasa Korea Utara dan sambutan Hari Matahari.

Amerika Syarikat, Korea Utara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain