KAHERAH: Serangan bom yang menyasarkan dua gereja dan mengorbankan lebih 40 nyawa di bandar Tanta dan Iskandariah di Delta Nil mendorong Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, mengisytiharkan darurat selama tiga bulan. Insiden pengeboman angkara militan Daesh itu berlaku ketika jemaah dalam kalangan minoriti Kristian Koptik berkumpul sempena Palm Sunday. Serangan berlaku susulan pengeboman gereja di Kaherah Disember lalu dan seminggu sebelum kunjungan Pope Francis, bertujuan menunjukkan sokongan kepada minoriti Kristian di negara ini. Menurut Sisi, perintah darurat perlu dibentang ke Parlimen dalam tempoh seminggu dan memberi amaran usaha memerangi pengganas akan mengambil masa yang lama dan menyakitkan. Pegawai kerajaan memaklumkan, bom pertama meledak gereja Mar Girgis dekat bandar Tanta di utara Kaherah, membunuh 27 orang, manakala 17 lagi termasuk empat anggota polis maut dalam serangan seterusnya di gereja Saint Mark, Iskandariah. "Serangan itu dilakukan seorang pengebom yang meletupkan dirinya selepas dihalang memasuki gereja. Sekurang-kurangnya 78 orang cedera di Tanta dan 41 lagi di Iskandariah, kata kementerian kesihatan. - AFP