MOSCOW: Rusia dan Iran memberi amaran untuk bertindak balas dengan menggunakan kuasa ketenteraan sekiranya Amerika Syarikat (AS) sekali lagi melanggar 'garisan merah' di Syria. Amaran keras itu disuarakan dua hari selepas AS melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera udara Syria sebagai membalas serangan kimia oleh tentera rejim yang mengorbankan ramai nyawa orang awam. "Tindakan agresif AS di Syria melanggar garisan merah. Mulai sekarang, kami (Iran dan Rusia) akan membalas menggunakan kekerasan terhadap mana-mana pihak yang melanggar garisan tersebut. "AS sedar keupayaan kami untuk bertindak balas," jelas kedua-dua negara itu menerusi satu kenyataan bersama. Dalam serangan kimia pada 4 April lalu, sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh termasuk wanita dan kanak-kanak apabila tentera Syria menggugurkan bom sarin di Khan Sheikhun di wilayah Idlib yang dikuasai kumpulan penentang. Selang tiga hari kemudian, AS melancarkan kira-kira 59 peluru berpandu Tomahawk untuk memusnahkan pangkalan udara al-Shayrat dekat Homs sebagai hukuman ke atas tentera rejim tetapi angka kematian dilaporkan mencecah enam orang termasuk orang awam. Tindakan tersebut dipuji oleh kebanyakan pemimpin dunia tetapi kebimbangan turut disuarakan bahawa serangan AS itu mungkin mengheret konflik yang lebih besar di Syria memandangkan negara Asia Barat itu merupakan sekutu rapat Rusia dan Iran. Moscow dan Teheran turut terlibat dalam peperangan di Syria dengan menyertai operasi memerangi kumpulan penentang kerajaan dan militan Daesh.